Kena cekup khalwat sehari sebelum nikah
DUNGUN – “Tolonglah saya tuan hakim, saya rayu jangan hantar saya dan suami ke penjara. Kami tak sanggup berpisah. Saya insaf atas keterlanjuran kami,” rayu seorang wanita kepada Hakim Syarie kelmarin, setelah Mahkamah Rendah Syariah di sini, dapati dia bersalah berkhalwat sehari sebelum ijab kabul lebih setahun lalu.
Hakim Syarie, Shamsuddin Ngah, menjatuhkan hukuman denda ke atasnya kerana berkhalwat dengan lelaki bukan muhrim, yang kini sudah menjadi suaminya.
Wanita berumur 24 tahun itu menangis sekuat hati dalam kandang sehingga ditegur Hakim.
Tangisan itu tidak beri kesan, tetapi disifatkan lakonan dunia.
“Dalam mahkamah ini, orang boleh berlakon macam-macam untuk meraih simpati. Hendak menangis bukan di sini.
“Kamu kena menangis di hadapan Allah, menyesal kerana melanggar hukum Allah,” katanya.
Wanita itu memberitahu, di hari dia ditangkap di chalet, dia sedang buat persiapan kerana akan menikah esoknya dengan seorang pemuda yang juga ditahan.
Wanita dari Taman Delima, Paka, dekat sini, bersama dua lelaki dan seorang rakan, dihadapkan ke Mahkamah Rendah Syariah di sini atas tuduhan berkhalwat.
Mereka ditangkap pegawai penguat kuasa syariah jam 1.35 pagi, 10 Disember 2009, ketika berada bersama pasangan bukan muhrim dalam keadaan boleh menimbulkan syak di sebuah chalet di Kampung Tebing Tembah, Paka.
Setelah mengambil kira hujah dibentangkan pendakwa raya, Azmi Tengah, serta mempertimbangkan rayuan tertuduh, Hakim kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau dua bulan penjara jika gagal menjelaskan denda, manakala suaminya yang bekerja sebagai buruh, dikenakan denda RM2,300 atau tiga bulan penjara jika gagal membayar denda.
No comments:
Post a Comment