Hilang kawan kerana gosip
HIDUP BARU...Wan Sharmila simpan impian kembali berumah tangga.
Gara-gara dikatakan bercium mulut dengan Shahz yang juga temannya ketika majlis Anugerah Skrin akhir tahun lalu menjadi bualan gosip hingga menyebabkan kekasih Shahz, pelakon Maria Farida menghubungi Wan bagi mendapatkan penjelasan.
Meskipun ada orang yang sudah lupa atau mengandaikan tuduhan itu bagai angin berlalu pergi, namun tidak bagi si empunya diri yang mesra disapa Wan. Jauh di sudut hatinya, luka itu masih berdarah dan bekasnya kekal hingga satu jangka masa yang dirinya tidak tahu bila.
Apa yang membuatkan Wan terkilan apabila perpisahan pasangan itu beberapa minggu kemudian dikatakan berpunca daripada insiden itu dan kini semua mata seolah-olah meletakkan semua kesilapan padanya seorang tanpa pernah bertanya dan memerhati dengan dekat senario yang sebenar.
Apa yang membuatkan Wan terkilan apabila perpisahan pasangan itu beberapa minggu kemudian dikatakan berpunca daripada insiden itu dan kini semua mata seolah-olah meletakkan semua kesilapan padanya seorang tanpa pernah bertanya dan memerhati dengan dekat senario yang sebenar.
Enggan terus berduka dan kesal akan gosip yang sudah pun tersebar, anak jati kelahiran Johor Bahru, Johor ini bangkit meninggalkan episod luka itu. Meskipun kesannya masih mendalam dan rasa fobia masih menebal dalam sanubarinya, Wan Sharmila, 30, cuba membuang segala-galanya jauh dan akur dengan ketentuan ranjau anak seni yang sudah tersurat buatnya. Katanya, cukuplah isu yang pernah membuatkan dirinya terduduk itu. Penat rasanya untuk dijelaskan dan setiap kali bertemu media, bimbang persoalan yang sama diungkit kembali kerana jujurnya, ia satu penyeksaan.
“Tuduhan dan gosip itu terlalu besar dan berat buat pendatang baru seperti saya. Sedang sibuk membina kerjaya dan mencipta empayar sebagai seorang pelakon, timbul pula cerita itu kononnya saya menyebabkan perpisahan mereka sedangkan semua itu adalah salah faham dan satu kesilapan komunikasi semata-mata. Baik pihak saya dan Shahz sendiri sudah menjelaskannya.
“Saya mengenali Shahz sudah lama sejak kami sama-sama masih baru dalam lakonan. Kami berkampung berbulan-bulan sepanjang menjalani penggambaran Tari Tirana dan dia sudah seperti keluarga sendiri di mana saya meluahkan rasa dan cerita. Namun hanya kerana insiden yang entah daripada mana timbulnya, semuanya menjadi ribut.
“Jika ada pihak mengatakan gosip itu sudah hanyut ditelan waktu atau Shahz sendiri sudah melupakannya, ia memang mudah. Ikhlas dan jujurnya, tuduhan itu bagai satu tamparan kuat buat saya secara peribadi. Tidak hanya mencalarkan reputasi dan maruah sebagai seorang selebriti dan wanita, ia mengundang rasa fobia dan gusar kepada saya setiap kali berdepan dengan sesiapa saja.
“Ada kalanya, saya terduduk sendiri memikirkan perkara ini. Begitu mudah gosip tersebar dan menggugat jenama seseorang anak seni yang begitu penat mendaki berlandaskan komitmen dan kesungguhan. Sekelip mata semuanya boleh berubah,” katanya.
Apabila ditanya hubungannya dengan Shahz dan Maria selepas insiden itu, lama dia terdiam seolah-olah mencari jawapan. Tampak sikap berhati-hati di sinar mata bundarnya, Wan Sharmila kesal dengan apa yang berlaku kerana tiada alasan yang kukuh, kini dia bagai kehilangan seorang teman.
“Sejak Maria menghubungi saya untuk mendapatkan penjelasan dan Shahz sendiri ada tampil memberi keterangannya, saya langsung tidak bertemu atau berhubung dengan mereka. Malah ketika berita perpisahan mereka tersebar, saya sendiri berasa sedih kerana akhirnya ia tidak dapat diselamatkan.
“Dalam hati berkata sendiri, harap-harap ia bukan disebabkan perkara kecil seperti itu. Namun seperkara yang saya sedih, hubungan saya dan Shahz yang juga teman karib saya ketika sama-sama gigih mengintai ruang bagi membina nama menjadi renggang dan berbeza.
“Pertama kali bertemu ketika saya digandingkan dengannya menerusi drama Bila Azan Berkumandang untuk slot Cerekarama TV3. Ketika itu saya dapat rasakan hubungan kami sudah tidak lagi seperti dulu.
“Bagaimanapun, dilihat dari sudut berbeza, saya percaya ada hikmah di sebaliknya. Kami tidak berpeluang bersemuka bercerita semula memandangkan masing-masing cuba untuk membuang jauh cerita itu. Lantas perkara itu berlalu begitu saja dan kami profesional menyiapkan tanggungjawab masing-masing.
“Saya mengandaikan mungkin kami juga sudah sibuk dengan jadual kerjaya yang kian bertambah. Lihat saja Shahz, dia pantas melangkah ke depan. Saya sendiri sebagai seorang teman yang pernah bersama merangkak dari bawah dulu begitu gembira melihat popularitinya yang mendadak kemuncak.
“Namun kami masih berbual dan bergurau cuma perubahan itu dapat saya rasakan memandangkan kami pernah akrab sebelum ini. Insya-Allah jika ada peluang dan ruang, mungkin kami akan bertemu untuk meleraikan mana yang kusut,” katanya.
Melihat wajahnya yang muram mencuka, lantas dibiarkan bibirnya bebas bersuara. Enggan terus memasak persoalan yang sensitif dan mengganggu emosinya, Wan Sharmila yang pernah gagal dalam perkahwinannya dengan penerbit drama yang juga pemilik syarikat produksi Radius One, Fazli Baharom, kira-kira dua tahun lalu, mengalih sembangnya.
“Alhamdulillah, saya membawa status kembali solo ini dengan baik. Memang ada kalanya timbul juga rasa gusar kerana stigma masyarakat kita yang lekas memandang serong kepada golongan janda namun setakat ini semuanya berjalan baik.
“Hingga kini, saya masih kekal keseorangan tanpa teman istimewa. Bohong jika saya katakan tidak ada rasa ingin bercinta dan mendirikan rumah tangga kembali namun jodoh itu belum sampai lagi.
“Saya tidak mahu terkejar-kejar dalam membuat percaturan terutamanya membabitkan soal masa depan saya. Apa yang lebih menjadi keutamaan saya kini adalah kerjaya dan keluarga. Saya ingin mengejar semula segala apa yang pernah saya tertinggal sebelum ini tatkala sibuk menempuh saat getir dalam rumah tangga.
“Jika ditoleh kembali, masih terlalu jauh perjalanan saya. Saya ingin menerokai lapangan lakonan sebaik mungkin dan terus memberikan yang terbaik buat peminat yang sentiasa menyokong,” katanya.
Wan Sharmila akan muncul dalam drama bersiri menyentuh emosi dan perasaan berjudul Ayu Suraya. Bergandingan dengan Zarina Zainoordin, Syed Ali dan Rizman Khuzaimi, drama 13 episod ini akan mula menemui penonton bermula 26 April ini, setiap Selasa jam 10 malam di Astro Prima.
“Saya mengharapkan agar kisah peribadi tidak lagi diangkat menjadi subjek utama buat saya kerana masih terlalu banyak perkembangan lakonan yang ingin saya kongsikan.
“Drama Ayu Suraya umpamanya akan menjadi satu lagi peningkatan positif buat saya sebagai pelakon. Penonton akan melihat sisi berbeza daripada saya menerusi drama menarik ini,” katanya.
PROFIL
Nama Penuh: Wan Sharmila Wan Mohamed
Nama Komersial: Wan Sharmila
Tarikh Lahir: 19 Oktober 1981
Umur: 30 tahun
Asal: Johor Bahru, Johor.
Kerjaya: Pelakon dan pengacaraDrama Bersiri: Riang Tirana, Sindarela, Kisah Kaisara 1 & 2, Tipah Vavavoom, Emil Emilda, Bujang Antik, Sutun, Kembali Lagi, Rona Roni Makaroni, Rebab Tak Bertali, Dendam Maya
No comments:
Post a Comment