Nasib Razak 30 Jun
PETALING JAYA: Nasib pelakon dan penyanyi, Razak Ahmad sama ada perlu membela diri atas pertuduhan berkhalwat dengan seorang ahli perniagaan berstatus isteri orang lima tahun lalu, akan diketahui 30 Jun depan selepas hampir lima tahun dibicarakan.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad menetapkan tarikh itu selepas dimaklumkan Pendakwa Syarie dari Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Shafezan Rusli pihaknya baru menerima hujahan daripada pihak pembelaan.
Pada prosiding semalam, Wan Mahyuddin turut menasihatkan kedua-dua pihak supaya memberi kerjasama untuk mempercepatkan keputusan kes itu kerana ia sudah terlalu lama berjalan sejak 2006.
Sementara itu, Razak turut ditegur oleh Wan Mahyuddin apabila tidak dapat memberikan alasan berikutan ketidakhadiran peguam syarie Mohamad Azman Karim yang mewakilinya pada prosiding semalam.
“Sebagai peguam dia perlu bertanggungjawab. Kamu kena minta dia hadir pada tarikh akan datang, jangan biarkan dia lepas tangan.
“Kalau tak dapat hadir, kena bagi alasan yang munasabah,” katanya.
Razak atau nama sebenarnya Abdul Razak Ahmad, 44, hadir berseorangan di mahkamah pada jam 10.15 pagi kelihatan terkejut apabila melihat kehadiran wartawan dan jurugambar yang sedia menanti kehadirannya. Bagaimanapun dia masih tersenyum ketika gambarnya diambil. Pada 14 September 2006, pelakon drama bersiri ‘Geng Surau’ itu mengaku tidak bersalah berkhalwat dengan Selamah Sahudin, 45, di sebuah rumah di Apartmen Blok A, Taman Serdang Perdana, di sini, jam 2.15 pagi pada 1 April 2006.
Bagaimanapun, Selamah yang hadir bersama suaminya pada prosiding itu mengaku salah dan dikenakan denda RM2,850 atau tujuh bulan penjara.
Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 20 (1)(a) bagi lelaki dan (b) bagi perempuan, Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995.
Mengikut fakta kes, bertindak atas maklumat awam, sepasukan penguat kuasa Jais bersama beberapa anggota polis pergi ke rumah berkenaan untuk melakukan pemeriksaan.
Apabila tiba di lokasi, penguat kuasa Jais mendapati pintu utama dan jeriji berkunci manakala keadaan di dalam rumah agak gelap.
Selepas mengetuk pintu selama beberapa minit dan memberi salam, pintu berkenaan kemudian dibuka seorang wanita iaitu tertuduh perempuan dengan berpakaian lengkap.
Selepas memperkenalkan diri, penguat kuasa memperkenalkan diri dan meminta izin untuk melakukan pemeriksaan.
Pemeriksaan di bilik pertama rumah berkenaan mendapati, pelakon terbabit dipercayai sedang tidur dengan hanya berseluar jeans dan tidak berbaju.
Soal siasat mendapati pasangan terbabit tidak mempunyai hubungan suami isteri dan bukan mahram.
Pasangan itu dibawa ke Balai Polis Seri Kembangan untuk membuat laporan.
Seramai tiga saksi dipanggil memberi keterangan selepas pihak pendakwaan menutup kes pada 25 Mei 2010. Mahkamah turut menetapkan 26 Mei ini untuk pihak pendakwaan membalas hujahan terhadap hujahan yang dikemukakan Razak.
No comments:
Post a Comment