Dilanggar kereta suami selepas cerai KUANTAN - Seorang suri rumah bukan sahaja terkejut kerana diceraikan, tetapi nyaris maut setelah dilanggar kereta suaminya sendiri yang tergesa-gesa mahu lari selepas melafazkan cerai terhadapnya dalam satu pertengkaran di hadapan sebuah stesen minyak dekat Balok di sini, kira-kira jam 5 pagi, kelmarin.
Kejadian itu berlaku setelah dia terjatuh akibat ditolak suaminya yang bekerja sebagai mekanik sebelum dilanggar kereta dipandu lelaki itu dalam keadaan tergesa-gesa.
Bagaimanapun, wanita berasal dari Dungun berusia 35 tahun itu, bernasib baik kerana hanya cedera di bahagian kaki dan menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.
Difahamkan, pasangan terbabit bertengkar kerana suami wanita itu dipercayai menjalinkan hubungan dengan wanita lain yang turut berada di tempat kejadian.
Wanita itu bersama dua adik lelaki dan sepupunya datang ke Balok untuk mencari suaminya yang menghilangkan diri sejak dua minggu lalu.
Secara kebetulan suri rumah dan wanita dipercayai kekasih suaminya itu terserempak dengan lelaki itu dan masing-masing cuba bersemuka bagi menyelesaikan kemelut dihadapi.
Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri (Siasatan dan Perundangan), Superintendan Mohd Haris Daud ketika ditemui mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 337 Kanun Keseksaan.
No comments:
Post a Comment