‘Saya tak kisah apa orang kata’
SUDAH DIMILIKI...Neelofa akui mempunyai seseorang yang istimewa.
Semua itu bersangkutan dengan ‘cinta lokasi’ yang didakwa berputik antara dia dengan hero filem Azura 2011, Shahz Jazle. Ia berputik apabila pasangan ini menjalani penggambaran di Paris yang dikenali sebagai kota cinta.
Hingga kini, perkara itu masih panas dan di mana saja majlis yang Neelofa hadir, dia tidak dapat lari daripada menjawab kisah sensasi berkenaan. Justeru, apakah tindakan Neelofa selanjutnya untuk mengusir kenyataan perit yang tersebar luas itu?Bersua dengannya di The Curve Damansara, baru-baru ini, Neelofa tetap dengan jawapan bahawa dia dan Shahz hanya bercinta dalam filem. Di luar lokasi, hubungan mereka sekadar rakan sesama artis yang tak mungkin akan jatuh cinta.
“Saya tak kisah apa orang mahu kata dan anggap mengenai kontroversi itu. Apa yang pasti, saya bukan ‘orang ketiga’ dalam hubu�ngan mereka. Hati saya sudah dimiliki seseorang yang istimewa. Kami seusia dan dia juga bukanlah golongan orang seni.
“Biarpun masih dalam proses mengenali hati budi, namun tumpuan utama saya tetap pada karier. Langkah saya masih baru bermula dan banyak komitmen harus diberikan. Saya ingin dikenali masyarakat dengan bakat dimiliki dan bukan gosip semata-mata.
“Memang tak dinafikan gosip dan kisah kontroversi adalah lumrah kehidupan seorang artis. Namun, ia harus ditangani dengan baik. Oleh itu, untuk mempertahankan diri, saya perlu ada kekuatan dan keyakinan untuk meraih kejayaan diimpikan.
“Saya ingin berjaya dalam karier seni ini. Justeru, lebih baik jika saya tidak terlalu memikirkan sangat perkara itu. Saya bukan perampas dan tak melakukannya. Sekarang, saya hanya mahu fokus pada kerjaya,” kata Neelofa begitu optimis berbicara soal hala tujunya.
Berasal dari Kelantan, gadis jelita ini berkata, dengan pengakuan itu dia tidak mahu lagi ada pihak yang terasa hati, marah atau bengang. Ujarnya, dia juga enggan terus dikaitkan dalam permasalahan yang berlaku antara Shahz dan Maria.
Neelofa yang masih terbabit dalam penggambaran filem Azura 2011 arahan Aziz M Osman, berkata pada mulanya dia berasa janggal juga. Namun, ia nyata gosip yang tidak benar dan tak ber�asas, maka syukur ia tidak terlalu mengganggunya.
Azura 2011 adalah dari filem Azura yang pernah dijayakan Fauziah Ahmad Daud (Ogy) dengan Jamal Abdillah dan kini diberi nafas baru oleh Aziz dengan paparkan lokasi di luar negara bagi menunjukkan percintaan antara Azura dan Zack. Filem ini diterbitkan Ace Motion Pictures Sdn Bhd turut memilih London sebagai destinasi selain Paris.
Mesra berbicara, pelajar jurusan perniagaan Kolej Universiti Sunway ini berkata dia tetap menghormati Maria sebagai pelakon senior dan tiada masalah untuk mereka digandingkan bersama di dalam drama mahu pun filem pada masa akan datang.
“Luahan kata Kak Maria kepada saya itu adalah kerana kemarahannya dan dipengaruhi emosi. Apapun, saya tetap menghormati dia sebagai seorang senior dalam industri dan enggan bermusuh dengan sesiapa hanya disebabkan gosip atau kontroversi,” katanya.
Menyentuh soal penerimaan ibu bapanya, gadis kacukan Melayu sebelah ayah dan Pakistan-Arab (ibu) berkata, pada mulanya tak dinafikan situasi itu kurang disenangi keluarga. Mereka juga ingin tahu kebenarannya. Bagaimanapun, kini semua itu sudah diperjelaskan dan mereka sentiasa memberi sokongan.
Meminati bidang pengacaraan, Neelofa berkata dia sangat teruja apabila KRU Studios Sdn Bhd memberi peluang kepadanya untuk mengacarakan program hiburan, Paparazzi. Menurut Neelofa, dia sangat meminati pengacaraan sejak kanak-kanak lagi.
“Cuma, tawaran berlakon yang datang lebih dulu membuatkan saya mengambil peluang itu untuk mencuba. Sebagai artis baru, saya harus bijak mencari peluang. Bagaimanapun, bidang pengacaraan tetap pilihan utama saya dalam industri seni.
“Namun, saya akui tidak teragak-agak mencuba bidang nyanyian. Jika ada bakat, saya OK saja demi mengembang�kan karier. Oleh itu, saya puas hati dengan keputusan bernaung di bawah syarikat pengurusan seperti KRU Studios.
“Saya sangat yakin dengan KRU dan gembira di bawah pengurusan mereka. Kemampuan KRU Studios yang luas pastinya dapat membantu saya dalam mencari tapak dan mengukuhkan lagi karier seni. Apapun, jadual saya cukup teratur,” katanya.
Berkongsi pengalamannya mengacarakan program Paparazzi, Neelofa berkata apabila peluang yang ditunggu selama ini sudah dalam genggaman, dia tidak mungkin mensia-siakannya. Katanya, dia sentiasa berusaha melakukan yang terbaik.
PROFIL
NAMA PENUH: Noor Neelofa Mohd Noor
TARIKH LAHIR: 10 Februari 1989
USIA: 22 tahun
ASAL: Pasir Mas, Kelantan
KARIER: Pelakon, pengacara dan model
KELUARGA: Anak ketiga daripada sembilan beradik
DARAH CAMPURAN: Ayah (Melayu) dan ibu (Pakistan-Arab)
PENDIDIKAN: Ijazah Sarjana Muda, Perniagaan Antarabangsa & Pemasaran, Sunway University College, Bandar Sunway, Selangor (tahun kedua)
PENCAPAIAN: Juara Dewi Remaja 2010
IKLAN TV: Antaranya Nokia, Silky Girl, Fair & Lovely dan F&N Fruit Tree
KLIP VIDEO: Kau Bukan Aku nyanyian kumpulan Tilu
DRAMA: Kasih Najihah (TV9)
FILEM: Azura (versi baru)
PENGACARAAN: Paparazzi terbitan KRU Studios, boleh diikuti menerusi www.tonton.com.my
ARTIS NAUNGAN: KRU Studios selama setahun
No comments:
Post a Comment