Nafi cinta Shahir
TENTU ramai yang masih ingat lagi tentang pengumuman mengejut Rozita Che Wan pada tahun lalu yang membuat keputusan untuk bersara daripada dunia lakonan.
Ketika itu boleh dikatakan ramai peminat yang begitu terkejut dengan pengumuman Rozita memandangkan ketika itu dia sedang berada di puncak karier.
Sehingga ada pihak yang mengatakan pelakon yang popular menerusi drama bersiri Kiah Perkasam itu mahu bersara kerana ingin mendirikan rumah tangga biarpun dinafikan sekeras-keras oleh empunya diri.
Pada masa itu, dia mengaku mempunyai seorang kekasih yang juga teman lamanya yang bertugas di Singapura dan pernah dilamar jejaka tersebut untuk berkahwin.
Bagaimanapun, apabila memasuki tahun 2011 pelakon berkenaan tiba-tiba membuat pusingan U apabila dilihat terus berlakon dan hasratnya untuk bersara seperti telah dilupakan.
Apatah lagi, kisah percintaan dengan kekasihnya itu terus tenggelam, sebaliknya dia dikaitkan pula dengan juara Akademi Fantasia 8, Shahir.
Gosip yang melanda kedua-dua artis berkenaan semakin hangat diperkatakan apabila masing-masing dilihat bertemu di sebuah tempat bersama dan ditemani pengurus selepas berlangsungnya Anugerah Bintang Popular 2010 pada 3 April lalu.
Terbaharu, dikhabarkan Rozita dan Shahir bergandingan bersama-sama dalam sebuah telemovie berjudul Summer Camp terbitan Astro.
“Memang saya dan Shahir berlakon bersama dalam telefilem berkenaan. Namun saya sendiri tidak ada masalah langsung untuk berlakon bersamanya biarpun kami kerap digosipkan sebelum ini.
“Sebagai seorang pelakon, saya perlu bertindak secara profesional dan tidak kisah untuk bergandingan dengan sesiapa sahaja asalkan mendapat tawaran dan watak yang sesuai,” jelasnya.
Tambah Rozita, dia turut menolak andaian sekiranya gandingan dia dan Shahir dalam telemovie berkenaan akan menguatkan lagi gosip tentang hubungan istimewa mereka berdua.
“Berlakon bersama-sama tidak bermakna kami ada menjalinkan sebarang hubungan istimewa. Sebaliknya, hubungan kami berdua tidak lebih daripada hubungan sesama rakan artis sahaja.
“Lagipun ingin saya tegaskan yang sekarang ini saya masih lagi solo dan tiada masa nak fikirkan soal cinta kerana begitu sibuk dengan aktiviti lakonan,” jelasnya.
Menurutnya, secara jujur dia memang mempunyai hasrat untuk menamatkan zaman jandanya. Bagaimanapun, dia tidak tahu bila untuk kembali mendirikan rumah tangga kerana masih belum menemui lelaki yang sesuai.
“Sekarang ini saya cukup selesa menjalani kehidupan yang dilalui sekarang ini di samping membesarkan dua orang anak. Jadi soal jodoh saya tidak terlalu memikirkannya,” ujarnya lagi.
Terus berlakon
Di sebalik kisahnya yang tidak jadi berhenti berlakon itu, Rozita turut dicemuh ramai dan dikatakan sengaja mengada-adakan cerita mahu bersara kerana mahu mencari publisiti murahan.
Tidak dinafikan rezekinya juga dilihat semakin bertambah dengan pelbagai tawaran berlakon drama dan telemovie yang diterima setelah mengambil keputusan untuk terus berlakon.
Bagaimanapun, pelakon berkenaan memberitahu apa yang berlaku itu akan menjadi pengajaran buat dirinya untuk berhati-hati dalam membuat keputusan selepas ini.
Jelas pelakon yang bergelar ibu tunggal sejak lapan tahun lalu itu lagi, buat masa ini dia akan terus memberikan tumpuan kepada bidang lakonan.
“Memang setakat ini saya tidak boleh nak cakap bila saya akan betul-betul mahu berhenti. Selagi mendapat tawaran dan masih lagi diminati ramai, saya akan terus berlakon.
“Lagipun saya tidaklah semakin banyak mendapat tawaran lakonan apabila tidak jadi bersara kerana saya rasa jumlah tawaran yang diterima juga lebih kurang sama dengan tahun lepas,” jelasnya.
Untuk tahun 2011, Rozita mula membintangi drama Iparku Diva dan kini dia baru selesai menjalani penggambaran drama berjudul Mata Ayer untuk slot Legenda di TV3.
Selain itu, pelakon berkenaan akan muncul dengan beberapa buah drama lagi seperti Sajundai, Memori Semalam Kiah Pekasam untuk musim kedua.
Pada masa yang sama, dia juga turut menafikan tanggapan sesetengah pihak yang mengatakan dia kini mula meletakkan harga yang tinggi untuk sesebuah drama atau telemovie.
“Saya tidak pernah letak harga terlalu tinggi, namun saya akui ada menaikkan sedikit harga bayaran sahaja tetapi tidaklah sampai membebankan pihak penerbit atau pengarah," ujarnya.
Lali gosip
Lumrah sebagai seorang artis yang cantik dan bergelar seorang janda, tenyata kehidupan Rozita sebagai anak seni tidak pernah lari daripada dilanda pelbagai gosip-gosip hangat.
Adakalanya kebanyakan peminat hiburan di negara ini dilihat lebih gemar mengikuti kisah-kisah peribadinya berbanding mengenai perjalanan kariernya sebagai seorang pelakon.
Apabila namanya semakin popular dan dikenali ramai, ketika itu juga dia kerap dikaitkan dengan ramai lelaki terutamanya yang bergelar VIP.
Ketika ditanya adakah dia tidak rimas dengan gosip yang sering melanda dirinya, kakak kepada Ayu Raudhah ini menjelaskan, sebagai artis dia sekadar membiarkan sahaja apa orang kata tentang dirinya.
"Boleh dikatakan ramai yang begitu meminati cerita-cerita hangat artis. Malah, sebelum bergelar artis pun saya sendiri memang gemar membaca kisah-kisah artis tempatan.
"Jadi bila sudah bergelar artis sekarang ini, memang saya terpaksa berhadapan dengan semua ini sehinggalah kini saya sudah lali dengan setiap cerita kontroversi yang membabitkan diri saya," ujarnya.
Ketika ditanya tentang penerimaan kedua-dua anaknya iaitu Ammar Effendy dan Aniq Ezzra setiap kali membaca kisah kontroversi dirinya, dia memberitahu sangat beruntung memiliki anak-anak yang bersikap terbuka dan memahami kerjayanya sebagai artis.
"Anak-anak saya sendiri pun dah tak kisah bila membaca cerita saya di akhbar atau majalah. Lagipun mereka lebih mengenali ibu mereka yang sebenarnya," ujarnya.
No comments:
Post a Comment