KANGAR - Tindakan
seorang ahli politik duduk bergelap dalam kereta bersama isteri orang,
mengundang padah, apabila gelagat mereka disedari sekumpulan ahli Skim Rondaan
Sukarela (SRS) yang kemudian memanggil imam kampung, sebelum pasangan itu
ditahan kerana disyaki berkhalwat.
Kejadian berlaku pada
jam 1.26 pagi berdekatan resort di Sungai Batu Pahat, di sini, 24 Disember
lalu.
Menurut sumber daripada
Jabatan Agama Islam Negeri Perlis (Jaips), ahli politik berusia 35 tahun dan
sudah berkeluarga, ditahan bersama pasangannya berusia 30 tahun dalam kereta
Proton Wira, berhampiran semak-samun.
Menurutnya, kelibat
pasangan itu pada awalnya disedari sekumpulan ahli SRS Kampung Sungai Baru,
Sungai Batu Pahat sebelum imam kampung dipanggil untuk menyoal siasat pasangan
berkenaan.
“Mereka kemudian ditahan
selepas gagal menunjuk-kan dokumen sebagai bukti hubungan mahram atau suami
isteri sebelum diserahkan kepada Jaips untuk tindakan selanjutnya.
“Laporan ke atas
kedua-dua pasangan itu turut dibuat di Balai Polis Kangar sebelum dijamin oleh
keluarga masing-masing,” katanya di pejabat Jaips di sini, semalam.
Menurut sumber itu lagi,
ahli politik berkenaan dan pasangannya hadir ke pejabat Jaips semalam, untuk
memberikan keterangan selama sejam.
“Keterangan tertuduh
mula diambil oleh pegawai Jaips pada 9.45 pagi dan berakhir 10.45 pagi,
dimulakan dengan tertuduh lelaki diikuti dengan pasangannya.
“Buat masa ini, Jaips
memutuskan 18 Januari 2012 sebagai tarikh permohonan agar kes ini dibawa ke
Mahkamah Tinggi Syariah Kangar, memandangkan kami masih menunggu keterangan
saksi yang menahan pasangan itu termasuk imam masjid,” katanya.
Jurucakap itu berkata,
pasangan berkenaan ditahan dan didakwa bawah Seksyen 9(1)(2), Enakmen Jenayah
Dalam Syarak Perlis, 1991 yang boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000
atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
No comments:
Post a Comment