PUTRAJAYA: Kadar kesuburan penduduk di negara
ini menurun daripada 3.0 anak 2.2 anak setiap keluarga dalam tempoh antara 2000
dan 2010 yang disumbang faktor perkahwinan lewat dan merancang keluarga.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor
Mohamed Yakcop berkata, dalam tempoh 10 tahun lalu, rata-rata rakyat di negara
ini berkahwin pada usia 23 tahun, sebaliknya kini kebanyakannya berkahwin pada
usia 26 tahun ke atas.
“Kebanyakan wanita ketika ini mempunyai pekerjaan yang kukuh dan mampu hidup sendiri, justeru, mereka tidak banyak bergantung kepada pasangan, sekali gus menyebabkan mereka berkahwin lewat, berbanding satu ketika dulu hanya lelaki atau ketua keluarga saja yang bekerja.
“Selain itu, wanita hari ini juga merancang
keluarga sendiri dengan mengambil kira jumlah anak yang diingini kerana
teknologi moden yang ada hari ini. Jadi, sejak awal perkahwinan mereka sudah
mempunyai perancangan berapa orang anak yang diingini berdasarkan keadaan
ekonomi keluarga,” katanya pada majlis pengumuman Laporan Penduduk Mengikut
Kawasan Pihak Berkuasa Tempatan dan Mukim 2010 dan Produk Statistik 2011/2012,
di sini, semalam.
Hadir sama, Ketua Perangkawan Malaysia, Dr Abdul Rahman Hasan.
Laporan ketiga yang diperoleh hasil daripada Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 (Banci 2010) yang berlangsung dari 6 Julai hingga 22 Ogos lalu itu memuatkan data taburan penduduk mengikut kumpulan etnik, kumpulan umur dan jantina serta bilangan isi rumah dan tempat kediaman
Katanya, Malaysia dijangkakan berada pada paras penggantian mulai tahun 2017.
Menurutnya, unjuran penduduk yang dilakukan Jabatan Perangkaan mendapati Malaysia dijangkakan hanya mencapai bilangan penduduk maksimum pada tahun 2090 iaitu 57 juta orang.
“Selepas 2090, penduduk dijangka mengalami pertumbuhan negatif kerana jumlah kematian melebihi kelahiran; kematian bertambah kerana penuaan penduduk dan kelahiran berkurangan disebabkan bilangan penduduk perempuan dalam kumpulan umur ‘boleh’ melahirkan anak semakin kurang,” katanya.
Selain itu, beliau berkata mengikut Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sesebuah negara mencapai status penuaan masyarakat apabila penduduk 65 tahun ke atas mencapai tujuh peratus, manakala masyarakat tua dicapai apabila penduduk berusia 65 tahun berjumlah 14 peratus.
No comments:
Post a Comment