ARAU: Akibat kebosanan, seorang pelajar perempuan berusia 14
tahun yang bertindak melarikan diri dari asrama sekolahnya, dekat sini,
berdepan detik menyayatkan hati apabila menjadi mangsa rogol seorang lelaki
pada Khamis lalu.
Mangsa dipercayai memanjat pagar asrama kira-kira jam 10.45
malam sebelum terserempak dengan seorang lelaki berusia 22 tahun di sebuah
stesen bas lalu mempelawa diri untuk menemani gadis itu. Ketua Polis
Daerah Arau, Superintendan Mohd Nadzri Hussain berkata, suspek
kemudian membawa mangsa bersiar-siar di Kangar, dekat sini, sehingga tengah
malam.
Katanya, mangsa yang berasal dari Lubuk Sireh tidak dapat pulang ke asramanya
kerana sudah lewat malam sebelum diajak pulang ke rumah lelaki terbabit.
“Mangsa tidak mengesyaki sesuatu yang buruk apabila suspek
memaklumkan tinggal bersama keluarga selain berjanji menghantarnya pulang ke
asrama pada keesokan paginya.
“Percaya dengan kata suspek, mangsa mengikut lelaki itu pulang ke rumahnya
sebelum dirogol serta dikurung sehingga petang keesokkan harinya. Bagaimanapun,
mangsa berjaya melarikan diri ketika ketiadaan lelaki itu,” katanya.
Menurutnya, pihak sekolah yang terkejut dengan kehilangan mangsa dari asrama
kemudian mencarinya sebelum berjaya menemuinya pada petang kelmarin.
Katanya, selepas disoal, mangsa memberitahu dia keluar dari
asrama sekolah sebelum dirogol suspek menyebabkan laporan berhubung kejadian dibuat
di Balai Polis Arau untuk tindakan lanjut.
“Berdasarkan laporan polis, suspek ditahan kira-kira jam 5 pagi tadi (semalam)
dan kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya
No comments:
Post a Comment