DUA suspek dibawa ke kawasan semak di Kampung
Macang Kudong, Pokok Sena semalam bagi membantu siasatan kematian Hamdan.
ALOR
SETAR – Angkara mengikut nafsu marah dan cemburu membuak-buak kerana mengesyaki
isteri mempunyai hubungan istimewa dengan orang lain, seorang lelaki bersama
seorang anak lelakinya bertindak di luar dugaan membelasah sehingga mati
kenalan isterinya itu.
Tragedi malang yang berlaku pada pukul 11 pagi itu di satu kawasan
semak samun di Kampung Macang Kudong, Pokok Sena di sini kelmarin menyebabkan
Hamdan Saad, 54, yang cedera teruk di kepala dan beberapa bahagian badan lain
meninggal dunia ketika dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini
semalam.
Hamdan didakwa mempunyai hubungan baik dengan seorang wanita yang
berusia 40-an yang dipercayai isteri kepada suspek berusia 50 tahun dan juga
ibu kepada pemuda berusia 22 tahun yang terlibat dalam kejadian itu.
Selepas dibelasah, Hamdan yang tidak bekerja dikejarkan ke HSB
pukul 1 petang kelmarin namun meninggal dunia selepas 12 jam dirawat di HSB.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Setar, Supritendan Baharom Abu
berkata, mangsa yang dalam keadaan tenat ditemui oleh anaknya di dalam parit di
ladang kelapa sawit iaitu kira-kira 15 meter dari tempat mangsa dipukul.
Menurut beliau, mangsa dipercayai terjatuh ke dalam parit ketika
cuba keluar dari kawasan itu selepas cedera dibelasah.
“Selepas dipukul, mangsa sempat bercakap dan meminta bantuan
daripada salah seorang anaknya menerusi panggilan telefon,” kata beliau ketika
ditemui di bilik mayat HSB di sini semalam.
Baharom memberitahu, mangsa kemudian dibawa pulang ke rumahnya di
Pekan Langgar di sini sebelum dihantar ke HSB.
“Bagaimanapun, mangsa meninggal dunia pada awal pagi ini (semalam)
akibat masalah jantung yang mempunyai kaitan dengan dipukul dan mempunyai
tekanan emosi,” ujar beliau.
No comments:
Post a Comment