Memalukan dan mengecewakan! Itulah digambarkan pelakon tersohor,
Datuk Jalaluddin Hassan, apabila tersebarnya berita perkahwinan penyanyi,
Syella Kamaruddin yang dikaitkan dengan abangnya, bekas Ketua Polis Negara, Tan
Sri Musa Hassan.
Jalaluddin memberitahu, berita yang tersebar di laman maya itu,
membuatkan dia dan keluarga terkejut besar. Malah orang tuanya sendiri tidak
mengetahui perkara ini.
“Baru semalam (Jumaat) saya hubungi abang saya. Bila saya
bertanyakan perkara ini, abang dan kakak ipar saya tergelak besar.
“Orang paling terkesan dengan khabar ini ialah orang tua kami.
Takkanlah abang saya sekejam itu sehingga menyembunyikan hal ini dari
pengetahuan mereka,” katanya kepada Zass.
Jalaluddin turut kesal dan marah apabila berita itu turut
mengaitkan bapanya.
“Saya ada terbaca artikel berkenaan isu itu. Kenapa menulis
sedemikian? Mengaitkan pula ayah saya dalam hal ini.
“Cukuplah mereka membuat cerita tidak benar tentang abang saya.
Kini mereka mahu melibatkan ayah saya pula. Orang yang menyebarkan berita ini
memang tidak berbudi bahasa,” katanya dalam nada geram.
Gesa Musa ambil tindakan
Berikutan fitnah yang disebarkan, Jalaluddin menggesa abangnya
mengambil tindakan ke atas mereka yang menyebarkan fitnah tersebut.
“Bagi saya, mereka yang menyebarkan fitnah ini merupakan orang
yang tidak mempunyai hati dan perasaan. Main sedap mulut sahaja
berkata-kata.
“Kalau tidak tahu, buat cara tidak tahu. Sebelum sebarkan, siasat
dahulu berita itu benar atau tidak,” katanya.
Membangkitkan mengenai perkahwinan yang dikatakan menelan belanja
RM15 juta itu, Jalaluddin memberitahu, adalah sesuatu yang mustahil jika
abangnya mempunyai wang sebanyak itu kerana menurutnya, Musa merupakan seorang
yang sederhana dalam segala hal.
“Abang saya memakai selipar apabila keluar. Dia juga pergi ke
kedai mamak untuk makan. Kalau abang saya mampu mengadakan majlis perkahwinan
yang berjumlah RM15 juta, pasti bapa saya kini hidup lebih senang,”
katanya.
Minta suami Syella tampil
Selain akan mengambil tindakan ke atas mereka yang menyebarkan
fitnah ini, Jalaluddin juga turut meminta agar suami Syella tampil membuat
kenyataan.
“Perkara ini melibatkan maruah kami sekeluarga. Jika suami Syella
seorang yang gentleman, sila tampil dan betulkan keadaan,” katanya.
Jalaluddin juga meminta agar Syella tidak terus menyembunyikan
suaminya itu.
“Sekiranya suami Syella rasa bertanggungjawab terhadap isu ini,
dia harus datang ke depan dan tonjolkan dirinya.
“Dia harus sedar, kami semua terluka dengan tohmahan yang dibuat
oleh masyarakat, terutama terhadap orang tua saya. Tambahan pula, perkara ini
tidak semena-mena melibatkan orang yang tidak bersalah,” kata Jalaluddin.
Sebelum ini, perkahwinan Syella, mengejutkan orang ramai apabila
majlis persandingan dan hantaran yang diterima mencecah RM15 juta.
Bertambah kecoh, apabila Syella, dikatakan berkahwin dengan orang
kenamaan yang pernah memegang jawatan penting dalam negara.
Gambar mereka turut tersebar dan nama bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, tiba-tiba menjadi sebutan. Musa, bagaimanapun, dalam satu kenyataan, menafikan khabar itu dan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang menyebarkan berita palsu itu.
Gambar mereka turut tersebar dan nama bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, tiba-tiba menjadi sebutan. Musa, bagaimanapun, dalam satu kenyataan, menafikan khabar itu dan akan mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang menyebarkan berita palsu itu.
Sementara itu, Syella gagal dihubungi bagi menjelaskan perkara
sebenar.
No comments:
Post a Comment