KULIM - Jalan Kilang Sago mengalami kesesakan lalu lintas apabila
seorang warga emas berbaring di atas jalan kira-kira jam 6 petang,
kelmarin.
Orang ramai yang berada di tempat kejadian cuba memujuknya untuk
beredar, tetapi dia enggan berbuat demikian.
Ketua Balai Polis Hi-Tech, Cif Inspektor Chua Poh Teck yang berada
di tempat kejadian kemudiannya memujuk warga emas itu lalu dia bangun dan
berbaring di tepi jalan.
Pengerusi Pertubuhan Prihatin Kebaktian Masyarakat Kulim (PPKM),
Khor Eng Khim berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) seharusnya mengadakan
operasi khas untuk memastikan masalah warga emas yang hidup berpelesiran dapat
ditempatkan di tempat perlindungan.
“Ada di antara mereka yang mengalami penyakit kronik dan penagih
dadah tegar. Kehidupan mereka langsung tidak mendapat perhatian dari mana-mana
pihak. Ini mengakibatkan mereka terdedah kepada pelbagai ancaman termasuk
penyakit.
“Saya meminta kerjasama JKM untuk membuat operasi dan membawa
semua kutu rayau, warga emas berpelesiran dan peminta sedekah dijalankan
segera,” katanya.
Dari tinjauan dibuat, kebanyakan mereka terlibat berusia di antara
50 hingga 60 tahun.
Mereka tidak mempunyai tempat tinggal kerana waris tidak mahu
menjaga mereka disebabkan faktor usia dan nyanyuk. Apabila ini berlaku, mereka
akan merayau dan tidur di kaki lima.
No comments:
Post a Comment