MESKIPUN Safiq Rahim masih belum memulakan tempoh percubaannya
di Queens Park Rangers (QPR), pemain tengah Selangor itu dianggarkan bernilai
RM1.4 juta sekiranya berjaya menandatangani perjanjian dengan pasukan The Hoops
itu.
Menurut laporan
laman sesawang eyefootbal.com, kelab QPR itu dilihat mahu membuat kejutan
dengan memasuki pasaran bola sepak Asia apabila menunjukkan minat mendapatkan
khidmat kapten skuad Malaysia yang terkenal dengan ketajaman permainannya,
terutama ketika berjaya menjaringkan gol hasil sepakan percuma ketika bertemu
Liverpool, Julai lalu.
Pengerusi dan
pemilik QPR, Tony Fernandes sebelum ini dilaporkan ingin meningkatkan nilai
komersial kelab tersebut dengan membawa masuk pemain dari rantau Asia.
Safiq yang kini
sedang menjalani ujian percubaan selama tiga minggu bersama kelab Cardiff City,
merupakan pemain kedua Malaysia selain Safee Sali yang berjaya menjalani ujian
bersama kelab yang dimiliki ahli perniagaan Malaysia, Datuk Chan Tien Ghee.
Seperti diketahui
umum, amat sukar untuk pemain Malaysia atau Asia Tenggara menembusi pasaran
Liga Perdana Inggeris (EPL) kerana pihak imigresen di United Kingdom
mensyaratkan pemain yang mahu bermain dengan kelab di negara itu mestilah
datangnya dari negara di ranking 70 terbaik dunia.
Biarpun laporan itu
lebih bersifat khabar angin, namun ia sekurang-kurangnya membakar semangat
pemain negara untuk beraksi di liga luar negara bagi meningkatkan mutu
permainan demi kebaikan pasukan kebangsaan khususnya yang kini sudah mula
menunjukkan kebangkitan sejak kebelakangan ini.
No comments:
Post a Comment