Pertuduhan terhadap Felix Sebastian, 37, dibacakan jurubahasa mahkamah dalam Bahasa Inggeris di hadapan Hakim Mahmud Abdullah.
Felix, yang bekerja sebagai jurutera dituduh dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah pada mata kiri rakannya, Ashvin Danny Holtkamp, 24, dengan menggunakan sebiji gelas panjang di Kelab 21, Bangsar Shopping Centre, Bangsar antara jam 12 pagi hingga 12.30 pagi, pada 4 Disember lalu.
Pegawai Pendakwa, Supritendan R Munusamy menawarkan jaminan sebanyak RM50,000 dengan dua penjamin warga tempatan dan memohon supaya pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Peguam S Selva Balan memohon supaya jaminan itu dikurangkan kepada RM5,000 berserta syarat yang sesuai bagi pelepasan pasport kerana anak guamnya menempah tiket ke Jerman pada 24 Oktober lalu bagi menyambut perayaan Krismas 25 Disember ini.
"Tertuduh yang berpisah dengan isteri akan berlepas ke Jerman pada Ahad ini untuk meraikan Krismas bersama dua anaknya yang tinggal di sana dan dia boleh menyerahkan kembali pasport berkenaan kepada mahkamah pada minggu kedua bulan Februari 2012," katanya.
Hakim Mahmud membenarkan tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan dua penjamin warga tempatan dan pasportnya diserahkan kepada mahkamah serta perlu melaporkan diri di balai polis berdekatan dua minggu sekali sehingga kes selesai.
Mahkamah juga membenarkan permohonan pembelaan bagi pelepasan pasport untuk tertuduh menyambut Krismas dan perlu menyerahkan kembali pasport berkenaan kepada mahkamah pada atau sebelum 1 Februari tahun depan sekembali ke Malaysia pada 29 Disember ini.
Mahkamah turut menetapkan 2 Februari depan untuk sebutan semula kes. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment